بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
.
.
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقاَئِل:
وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ ﴿١٥٥﴾ الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّـهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ ﴿١٥٦﴾
أَشْهَدُ أَن لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلى ءَالــِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللَّهِ، إِتَّقُواْ اللَّهِ، أُوْصِيْكُمْ وَ إِيَّايَ بِتَقْوَى اللَّهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
.
.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Segala pujian dan kesyukuran ini hendaknya kita semua merafa’kannya ke hadhrat Allah SWT. Di kesempatan kita berada dalam masjid yang penuh barakah, pada hari Jumaat yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah yang bertajuk: “HIKMAH DI SEBALIK UJIAN ALLAH”.
.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Berdasarkan kepada fitrah kejadian manusia bahawa kehidupan di dunia merupakan satu ujian daripada Allah SWT kepada hambanya, ujian ini dalam pelbagai bentuk samada kesenangan, kebahagiaan, kesedihan, malapetaka yang menimpa diri sendiri, kaum keluarga, masyarakat ataupun negara. Sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 155 dan 156:
وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ ﴿١٥٥﴾ الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّـهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ ﴿١٥٦﴾
Maksudnya: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut(kepada musuh), dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar (Iaitu) Orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”
.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Sejarah menunjukkan bahawa Nabi Ayub AS adalah salah seorang nabi yang paling banyak menerima ujian dalam hidupnya. Baginda berhadapan dengan ujian kehilangan kesemua anak kesayangannya, kehabisan harta kekayaannya, menghidapi penyakit, kaum kerabat dan isterinya menjauhi Nabi Ayub AS. Namun, Nabi Ayub AS menghadapi segala ujian ini dengan penuh kesabaran dan berkeyakinan bahawa semua ketentuan Allah SWT ini mengandungi pelbagai hikmah di sebaliknya.
Sebagai seorang yang beriman kepada Allah SWT dan beriman dengan qada’dan qadar-Nya, kita mestilah yakin bahawa setiap ketentuan dan takdir Allah SWT itu ada hikmah di sebaliknya dan tidak berlaku sesuatu dengan sia-sia. Oleh itu, kita berkewajipan untuk menerima apa jua yang terjadi dalam persekitaran hidup kita dengan penuh kesabaran dan keimanan agar dengan cara ini ianya akan meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT.
Ketahuilah bahawa setiap ujian yang menimpa manusia mempunyai beberapa pengajaran yang berbeza. Bagi mereka yang beriman, maka ujian yang ditimpa merupakan satu iktibar dan merupakan satu peringatan dalam bentuk kasih sayang dari Allah agar mereka kembali pada jalan-Nya, yang penting kita harus sabar menghadapinya. Ujian yang diturunkan Allah SWT kepada kita, pasti sudah ditetapkan dengan penuh keadilan. Tak mungkin ujian yang menimpa itu, melampaui batas kemampuan kita. Kerana Allah tidak pernah menzalimi hamba-hamba-Nya.
.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Negara kita, Tanahair yang kita cintai ini telah mengalami pelbagai situasi kesulitan seperti banjir yang melanda di sebelah Pantai Timur, Selatan dan Utara tanahair, wabak denggi, jerebu, kemarau panjang, debu/habuk gunung berapi yang meletup di negara lain dibawa angin sampai ke dalam negara ini dan lain-lain peristiwa yang memberi kesan kepada keamanan dan keharmonian hidup kita. Semua keadaan yang telah berlaku dalam negara ini satu persatu telah ditangani oleh pihak pemerintah dengan baik, penuh hikmah dan bijaksana. Terkini negara kita sedang menghadapi situasi kehilangan sebuah pesawat MH370.
Justeru, semua pihak berkewajipan supaya bertenang dan tidak mengambil kesempatan dalam suasana ini untuk memanipulasi keadaan dengan menyebar berita-berita palsu samada melalui media massa, media cetak, internet dan sebagainya.
Mimbar yang mulia ini ingin berpesan kepada umat Islam sekalian bahawa sebagai seorang Islam yang bertaqwa kepada Allah dan percaya kepada hari akhirat kita hendaklah menjaga akhlak dan adab-adab kita ketika berbicara untuk menjaga perasaan kaum keluarga mangsa.
Sebaliknya marilah kita sama-sama bermuafakat untuk membantu menenangkan hati dan perasaan keluarga mangsa yang terlibat. Sebagai seorang muslim yang prihatin dan beriman dan kepada seluruh masjid dan surau dalam negara ini, marilah sama-sama kita menunaikan solat hajat dan berdoa kepada Allah SWT agar segala kemelut ini dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin.
Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita mengambil iktibar seperti berikut:
1. Yakinlah ujian itu merupakan tanda kasih Allah SWT pada hamba-Nya. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A yang berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “ Sesiapa yang dikehendaki Allah menjadi orang yang baik maka dia akan diberi-Nya cubaan.” (Hadis Riwayat Bukhari)
2. Yakinlah semakin besar dan banyak cubaan yang Allah turunkan kepada kita, makin besar pula pahala dan sayang Allah yang akan dilimpahkan kepada kita.
3. Sentiasa optimistik bahawa kita boleh menyelesaikan setiap ujian hidup yang Allah berikan, kerana Allah tidak akan memberikan ujian hidup di luar kemampuan hamba-Nya.
4. Menghadapi ujian hidup dengan usaha dan doa. Apa-apa pun perkara yang menimpa kita, InsyaAllah ia akan menjadi kebaikan kalau dihadapi dengan sikap positif, optimistik, ikhtiar yang maksimum dan diikuti dengan doa.
.
بَارَكَ اللَّهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَعْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ..
.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
“Hikmah Di Sebalik Ujian Allah”
(14 Mac 2014 / 12 Jamadilawwal 1435H)
.
وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه
.