Hukum Merayakan Hari Ibu
Kasih Ibu membawa ke syurga
1. Berbakti kepada ibubapa adalah wajib dan patut dilaksanakan sepanjang tahun dan bukan pada hari-hari tertentu sahaja. Walau bagaimanapun, masyarakat moden hari ini menyambut hari-hari tertentu untuk memberikan penghormatan atas jasa-jasa individu atau kelompok tertentu. Maka lahirlah beberapa hari Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Guru, Hari Pekerja, Hari Jururawat dan lain-lain. Hari Ibu disambut di sesetengah negara pada 21 Mac setiap tahun dan di sesetengah negara lain seperti Malaysia pada 10 Mei setiap tahun. Sambutan ini sentiasa mengundang perbahasan umat Islam tentang hukum menyambutnya.
2. Ulama’ berselisih pendapat dalam perkara ini dan secara umumnya mereka terbahagi kepada 2 kelompok iaitu:
(1.) Kelompok yang mengharamkan. Diantaranya ialah Al-marhum Sheikh Abdul Aziz bin Baz yang secara jelas pernah mengeluarkan fatwa tentang sambutan ini. Asasnya ialah kerana ia termasuk diantara perkara bid’ah dalam agama dan mengikut kepada Barat (gharbiyyun).
(2. )Kelompok yang mengharuskan. Mereka mempersetujui bahawa sambutan ini juga adalah perkara yang diada-adakan, tetapi ia bukanlah bid’ah dalam ibadat tetapi hanyalah bid’ah dalam adat kebiasaan .
3. Pandangan kelompok pertama adalah cukup mudah untuk difahami dan saya tidak berhasrat memanjangkan di sini.
4. Pandangan kelompok kedua boleh diperhatikan pada pendapat-pendapat beberapa ulama’ kontemporari. Sheikh Faisal Mawlawi, Timbalan Pengerusi Majlis Fatwa dan Pengkajian Hukum Eropah (Majlis ini dipengerusikan oleh Sheikh Professor Dr Yusuf Abdullah al-Qaradawi) yang juga seorang pemimpin gerakan Islam di Lubnan (seangkatan dengan Sheikh Dr Fathi Yakan) berpendapat bahawa tiada halangan untuk menyambut Hari Ibu tetapi dengan dua syarat:
1. Sambutan itu hanyalah penghormatan tambahan yang dilakukan lanjutan daripada penghormatan sehari-hari yang diberikan selayaknya untuk ibu.
2. Sambutan itu tidaklah dianggap sebagai satu perayaan dalam mafhum Syarak iaitu menyamai Eid al-Adha dan Eid al-Fitri yang ada asasnya yang jelas dalam nusus Syariah.
5. Dr Muhammad Bakar Ismail, Professor Tafsir dan Ilmu-ilmu al-Quran di Universiti Al-Azhar al-Syarif memberikan pandangan seperti berikut:
“Hari ini dimana ibu dimuliakan dan dinamakan dengan Hari Ibu adalah daripada bid’ah-bid’ah dalam perkara adat dan bukan ibadat. Bid’ah dalam adat adalah tidak disuruh oleh Islam dan tidak juga dilarang kecuali ia menghubungkan dengan agama daripada dekat atau jauh. Jika adat ini lahir daripada pengiktirafan kepada kecantikan dan menyeru kepada berlaku baik dan ihsan kepada orang yang berhak mendapat kebaikan dan ihsan seperti ibu, bapa, datuk dan nenek, maka Islam memberkati dan memperakui adat sebegini. Manakala jika adat ini lahir daripada perkara yang sebaliknya, dan melakukannya juga melibatkan perkara-perkara yang buruk dan dilarang oleh Islam seperti pemborosan, pembaziran, kelalaian dan berbangga-bangga, maka Islam melarang daripadanya.”
6. Dr ‘Abdul Fattah Asyur, seorang lagi ulama’ al-Azhar memberikan pendapat seperti berikut:
Bahawa merayakan beberapa hari yang padanya dimuliakan manusia atau menghidupkan ingatan-ingatan yang baik, maka tidak seorang pun mengatakan bahawa program ini adalah perayaan agama atau sebahagian daripada perayaan-perayaan Muslimin. Tetapi ia adalah peluang untuk menunjukkan syiar perasaan yang baik terhadap orang-orang yang berbudi kepada kita dan diantaranya ialah apa yang dikenali sebagai Hari Ibu. Sesungguhnya bagi ibu kedudukan yang khusus dalam Islam dan juga dalam setiap agama lain. Maka ibu wajib dimuliakan dan dirayakan.
7. Sheikh Hamid al-Athar, ahli Kesatuan Ulama’ Islam Sedunia (yang dipengerusikan oleh Sheikh al-Qaradawi) memberikan pendapat seperti berikut:
Perayaan Hari Ibu pada suatu pada suatu hari yang dikhususkan (iaitu 21 Mac) pada pendapatku adalah makruh dan tidak jauh hukumnya dengan haram, bukan disebabkan bid’ah tetapi kerana mengikut orang-orang bukan Islam pada adat kebiasaan dan perayaan-perayaan mereka. Telah datang beberapa hadith Rasulullah SAW yang melarang umatnya daripada menyerupai Ahli Kitab antara lainnya ialah yang didatangkan daripada Ibnu Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dari kalangan mereka.”
8. Dr Muhammad al-Banna berpendapat bahawa tiada halangan untuk menyambut Hari Ibu dengan syarat:
1. Tidak berlaku di dalamnya perkara-perkara yang diharamkan oleh Syariah seperti pergaulan bebas diantara lelaki dan perempuan.
2. Tidak dimaksudkan untuk menyerupai orang-orang Barat dan bukan Islam.
3. Hendaklah kandungan perayaan itu diteruskan sepanjang tahun iaitu tidak terbatas kepada hari tersebut sahaja.(Sumber: UBM)
- KENYATAAN JABATAN MUFTI SELANGOR -
SAMBUTAN YANG DI ANJURKAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM
1. Sambutan yang dilakukan sebaik-baiknya secara sederhana, tidak melalaikan tanggungjawab seorang Muslim terhadap Allah s.w.t. dan tidak bersifat membazir.
2. Sambutan yang baik adalah dengancaramengasihi sesama sanak saudara melalui amalan ziarah-menziarahi selain berkongsi suka-duka, menzahirkan rasa syukur jika senang dan bertakziah atau bersimpati apabila ditimpa sebarang musibah.
123. Sebaik-baik sambutan adalah dengan mengadakan sembahyang berjamaah bersama ahli keluarga, majlis tahlil dan doa selamat, pesanan dan nasihat yang baik serta dalam suasana yang mahabbah.
4. Setiap ibu bapa perlu merenung kembali dan muhasabah diri ke atas amanah serta tanggungjawab yang terpikul di bahu mereka. Adakah kita telah memainkan peranan sebagai pemimpin keluarga dengan penuh kasih sayang, melalui jalan kebenaran untuk menikmati kedamaian hidup di dunia dan kebahagiaan akhirat.
5. Setiap ibu bapa perlu menyayangi dan melindungi ahli keluarga mereka daripada segala bentuk ancaman akidah dan kelalaian dunia. Ibu bapa perlu menjadi contoh terbaik di dalam keluarga dan disegani, dihormati serta disayangi oleh ahli keluarga.
6. Setiap ibu bapa perlu mewujudkan persekitaran yang baik dan selesa agar ahli keluarga merasa selamat, dihargai dan dihormati dalam usaha melahirkan insan syumul.
7. Setiap ibu bapa perlu prihatin dan memainkan peranan bersama untuk membabitkan diri dalam membanteras gejala sosial dan maksiat yang berleluasa dalam masyarakat, melalui program amar makruf nahi mungkar bagi melindungi ahli keluarga daripada terjebak.
8. Setiap ibu bapa perlu memperingatkan dirinya perihal pentingnya peranan mereka dalam menyemaikan nilai-nilai etika dan spiritual yang tinggi dalam kalangan ahli keluarga mereka.
9. Setiap ibu bapa mestilah mengambil langkah-langkah proaktif bagi mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran keibubapaan (parenting skills) bagi menyediakan anak-anak mereka untuk lebih berupaya menghadapi cabaran masa kini.
10. Didikan agama yang sempurna adalah satu faktor perlindungan (protective factor) yang mampu menyelamatkan manusia dari terjebak ke dalam perbuatan keji yang hanya akan merosakkan dirinya sendiri. Apabila pegangan serta keutamaan tidak lagi berkisarkan kepada tunjang agama yang kukuh, dengan mudah sahaja seseorang itu melakukan sesuatu perbuatan yang merugikan diri, keluarga, masyarakat dan negaranya.
PENUTUP.
Harus diingat, mengamal dan mengikut budaya asing, terutamanya dalam meraikan hari-hari tertentu tanpa mengetahui latar belakang perayaan tersebut, sebenarnya akan menjerumuskan umat Islam kepada kehancuran
kerana perkara seperti ini bukan sahaja menjejaskan akhlak bahkan keimanan dan akidah, serta menjatuhkan maruah agama Islam itu sendiri. Umat Islam diseru agar tidak sesekali meniru budaya asing yang ternyata bercanggah apatah lagi ia turut menjerumuskan mereka ke lembah kemaksiatan. Adalah diharapkan semoga dengan adanya garis panduan
seperti ini akan dapat membantu umat Islam bagaimana untuk meraikan sambutanHariBapa, Ibu, Kekasih dan yang seumpamanya menurut perspektif Islam yang sebenar.
Disediakan oleh:
Jabatan Mufti Negeri Selangor.
Mufti Selangor
Wallahu ‘alam.