Di satu sudut Pasar Madinah terdapat seorang pengemis buta yahudi yang setiap harinya mengemis di kawasan tersebut. Kerana bencinya beliau kepada Baginda Rasulullah s.a.w., maka setiap kali di dekati orang ramai dia akan berkata “wahai saudaraku, jangan dekati Muhammad, dia gila, pembohong dan tukang sihir. Apabila kalian mendekatinya maka kalian akan dipengaruhinya”.
Namun Baginda Rasulullah s.a.w. tidak mempedulikan kata-kata tersebut, malah setiap pagi Baginda Rasulullah s.a.w. akan membawa makanan untuknya. Tanpa berkata sepatah pun, Baginda Rasulullah s.a.w. akan menyuapkan makanan tersebut tanpa di ketahui oleh pengemis buta itu yang menyuapkannya adalah Baginda Rasulullah s.a.w. sendiri. Baginda Rasulullah s.a.w. melakukan perkara itu pada setiap hari sehinggalah beliau wafat.
Setelah wafatnya Baginda Rasulullah s.a.w. maka tiada lagi orang yang menghantar makanan kepada pengemis buta Yahudi tersebut sehinggalah pada suatu hari Abu Bakar r.a. berkunjung ke rumah anaknya Aisyah r.a. yang merupakan isteri kepada Baginda Rasulullah s.a.w.
Abu Bakar r.a. bertanya kepada anaknya “Anakku, adakah kebiasaan kekasihmu yang belum aku kerjakan?
Aisyah r.a. menjawab “wahai ayahku, engkau adalah seorang ahli sunnah, hampir tiada satu kebiasaannya pun yang ayah belum lakukan kecuali satu perkara sahaja”.
Abu Bakar r.a. bertanya lagi “apakah perkara itu wahai anakku, beritahulah”
Aisyah menjawab “setiap pagi Baginda Rasulullah s.a.w. akan pergi ke Pasar Madinah membawa makanan untuk seorang pengemis buta Yahudi yang terdapat di sana”.
Keesokan paginya Abu Bakar r.a. pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk pengemis buta Yahudi tersebut. Abu Bakar r.a. mendekati pengemis itu dan memberikan makanan yang di bawanya. Ketika dia mula menyuapkannya, si pengemis itu marah dan mengherdik “siapakah engkau?” tanya pengemis itu.
Jawab Abu Bakar r.a “Akulah, orang biasa yang selalu membawa makanan untuk kamu”.
“Bukan!, engkau bukan orang biasa yang mendatangi aku”. bantah pengemis buta itu.
“orang biasa yang mendatangi aku apabila dia kemari, tanganku ini tidak perlu memegang dan mulutku ini tidak susah untuk menguyah. Dia akan memicit-micit makanan tersebut sehingga halus sebelum menyuapkan aku” pengemis itu memberikan penjelasan.
Abu Bakar r.a. tidak dapat menahan air mata apabila mendengar penjelasan tersebut. Beliau menangis kerana sangat terharu dengan sikap mulia Baginda Rasulullah s.a.w. Walaupun Baginda Rasulullah s.a.w. seorang pemimpin umat tetapi beliau sanggup membawa makanan, memicit-micit sehingga halus dan menyuapkan seorang pengemis buta yang kotor dan miskin.
Sambil menahan tangisnya Abu Bakar r.a. berkata “aku memang bukan orang biasa yang mendatangi kamu tetapi aku adalah salah seorang sahabatnya. Orang mulia yang selalu mendatangi kamu itu sudah tiada. Dia adalah Muhammad Rasulullah s.a.w.”
Pada saat itu juga pengemis tersebut menangis mendengar penjelasan Abu Bakar r.a. dan kemudiannya berkata “benarkah demikian? Selama ini aku selalu menghinanya dan memfitnahnya tetapi dia tidak pernah memarahiku sedikitpun. Setiap pagi dia akan membawakan aku makanan. Dia begitu mulia sekali…..”
Kerana terharu dengan peribadi Baginda Rasulullah, akhirnya pengemis buta Yahudi tersebut telah mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan Abu Bakar r.a. dan semenjak daripada saat itu dia menjadi seorang muslim.