Pasangan Curang Boleh Dielak Sejak Awal

Sumber: Ali Cat Photography

Bezakan Mana Islam, Mana Silap Tafsiran

Seorang isteri mengadu suaminya banyak menggunakan dalil-dalil agama untuk menghalalkan kecurangannya .

“Sampai hati abang bercuti dengan perempuan lain di Pangkor,” kata seorang isteri sambil menahan marah.

“Dalam al-Quran, Allah suruh lelaki kahwin 4. Nak kahwin mestilah kena ‘couple’ dulu. Kenal-kenal dulu,” hujah suaminya.

“Allah tidak adil!” Amuk si isteri.

“Kamu nusyuz. Penentang hukum Allah. Aku tak wajib lagi bagi nafkah pada perempuan nusyuz macam kau, faham!” gertak suami. Dia juga menyeterika perasaan isterinya dengan ancaman neraka.

“Saya nak rujuk mahkamah,” kata isteri apabila dilihatnya ruang bebincang semakin tertutup.

“Kalau kamu adu ke pejabat agama atau mahkamah syariah, kamu tak akan cium bau syurga. Perempuan ramai di neraka sebab tidak taat kepada suaminya. Faham!” Ayat pedih ini dihumban ke telinga isterinya.

“Kenapa Islam diskriminasikan perempuan?” tangis si isteri teresak-esak.

Agama si isteri terfitnah tika itu kerana dia keliru membezakan mana Islam dan mana sikap umat Islam. Allah memberi amanah berat kepada seorang suami untuk mendidik isterinya merasai indahnya Islam. Ironinya, banyak sikap dan akhlak suami yang membuatkan isterinya yang kurang ilmu makin jauh dari agama kerana tersilap menyangka Islam yang menganiaya. Mana mungkin agama suci ini menzalimi sesiapa?! Kita yang belum cukup ilmu mengenainya.

Di Malaysia, kita bertuah apabila kes cerai-rujuk, poligami dan nusyuz mesti diadili di mahkamah. Mahkamah berperanan sebagai badan berautoriti yang boleh mendengar suara semua pihak dan memberi keadilan dalam kes mereka. Enakmen kekeluargaan di Malaysia memperakui aduan isteri untuk mengelakkan sebarang kezaliman dan ketidak adilan daripada berlaku. Ia selari dengan satu prinsip hadis sahih, la dharar wala dhirar (Tiada kemudaratan dan tidak boleh  membalas kemudaratan).

Kita Buat, Kita Dapat

Si isteri membuka album lama. Dia teringat kembali saat-saat sebelum bernikah dia juga selalu bercuti bersama bakal suaminya hingga terpaksa berkrisis dengan ibubapa. Dia baru dapat membayangkan kepedihan perasaan ibubapanya saat itu.

“Kalau betul ‘couple’ itu satu kesilapan. Kenapa aku sahaja menanggung kesannya? Suami aku  pula seronok berfoya-foya,” jerit batinnya.

Dia silap lagi membuat sangkaan. Mana ada orang dapat terus seronok dengan dosa. Nikmatnya cuma sesaat tapi azabnya akan mendera kita sepanjang usia. Si suami itu tidak akan menemui bahagia selagi dirinya tidak bertaubat. Yang ditempahnya hanyalah neraka dunia yang kedua.

Saya menghadirkan contoh situasi ini agar mereka yang belum bernikah beringat-ingat. Punca-punca kecurangan boleh dielak sejak belum bernikah. Tidak hairanlah Islam sangat mementingkan aspek pemilihan pasangan. Pesan Nabi, pilihlah yang beragama kamu akan beruntung.

Jika kita tidak mahu mendapat pasangan yang curang, jangan curangkan hubungan kita dengan Allah melalui perbuatan menghampiri zina. Tiada nikmatnya maksiat. Hanya memberi azab setiap hari bahkan juga di kemudian hari.

Analoginya, jika kita tidak mahu terkena penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi ketika di usia tua, kita perlu menjaga pemakanan dan berdoa ketika di usia muda. Inilah kebijaksanaan mencegah sebelum merawat.