Setelah Rasulullah berhijrah ke Madinah, dan Baginda yakin dengan kekemasan struktur masyarakat baru Islam, dengan tertegaknya kesatuan akidah, politik dan sistem di kalangan umat Islam, Baginda mengalih pandangan untuk menyusun hubungannya dengan golongan “bukan Islam”, tujuan Baginda ialah untuk mewujudkan keamanan, kesejahteraan, kemuliaan dan kebaikan kepada manusia sejagat, di samping menyusun semula daerah al-Madinah dalam satu keharmonian hidup yang tulin, ke arahnya Baginda menggariskan peraturan-peraturan yang bersifat anjal dan toleransi yang belum pernah dinikmati oleh dunia, yang penuh dengan sikap kefanatikan dan ego.
Golongan bukan Islam yang mendampingi Madinah diketika itu ialah golongan Yahudi, sepertimana yang telah kita perkatakan terlebih dahulu, mereka meskipun memendam perseteruan terhadap Islam, namun setakat ini mereka belum lagi memperlihatkan sebarang penentangan atau permusuhan, justeru itu Rasulullah memeteraikan perjanjian dengan mereka dengan memberi kemerdekaan penuh dalam soal agama dan kewangan. Rasulullah langsung tidak mengambil tindakan politik untuk berseteru, menghalau atau merampas harta-harta mereka. Perjanjian yang dimeteraikan itu adalah di antara kandungan perjanjian kaum muslimin sesama mereka, yang telah pun kita perkatakan.
BUTIRAN PERJANJIAN
1. Bahawa kaum Yahudi dari banu Auf adalah satu umat bersama orang-orang mukmin, mereka bebas dengan agama mereka sendiri, dan orang-orang Islam dengan agama mereka, begitu juga orang-orang yang bersekutu dengan mereka, termasuk juga diri mereka sendiri, perkara ini juga untuk bukan Yahudi Banu Auf sahaja.
2. Bahawa orang-orang Yahudi hendaklah membiayai negara seperti mana orang-orang Islam juga hendaklah membiayai negara.
3. Maka hendaklah mereka sama-sama tolong menolong menentang sesiapa jua yang memerangi orang-orang yang menganggotai piagam ini.
4. Maka hendaklah mereka saling nasihat menasihati, saling membuat kebajikan dan bukan dosa.
5. Mana-mana orang tidaklah boleh dianggap bersalah kerana kesalahan yang dilakukan oleh sekutunya.
6. Dan pertolongan hendaklah diberi kepada orang yang kena zalim.
7. Bahawa orang-orang Yahudi hendaklah bersepakat dengan orang-orang mukmin selama mana mereka tidak berada dalam keadaan perang.
8. Bahawa Kota Yathrib adalah terpelihara sepenuhnya tidak boleh dicerobohi oleh mana-mana pihak yang menganggotai piagam ini.
9. Bahawa apa juga kemungkaran (bunuh) atau apa juga pertelingkahan di antara sesama peserta piagam ini sekiranya di khuatiri membawa kepada bencana maka hendaklah dirujuk kepada hukum Allah dan kepada penyelesaian oleh Muhammad Rasulullah (s.a.w).
10. Bahawa tidaklah boleh di beri perlindungan kepada Quraisy (musuh) begitu juga tidak boleh di beri perlindungan kepada orang-orang yang membantunya.
11. Bahawa hendaklah ada janji bantu-membantu mempertahankan kota Yathrib daripada mana-mana pihak yang mencerobohinya. Setiap pihak adalah berkewajipan mengambil bahagian masing-masing tentang satu-satu perdamaian.
12. Bahawa piagam ini tidak boleh di pakai bagi melindungi orang-orang zalim dan yang bersalah.
Dengan termeterainya perjanjian ini maka Madinah dan persekitarannya menjadi sebuah negara yang aman dan damai. Ibu negerinya adalah al-Madinah, pemimpinnya adalah Rasulullah (s.a.w.), kata-kata pemutus dan kekuasaan yang tertinggi adalah kaum muslimin. Dengan itu maka al-Madinah menjadi sebuah ibu negara Islam dengan erti kata yang sebenarnya. Dan untuk memperluaskan daerah keamanan dan kesejahteraan ini di masa hadapan, maka Rasulullah mengadakan perjanjian dengan qabilah-qabilah yang lain berdasarkan keadaan dan suasana, sepertimana yang diperkatakan nanti.