Malcolm X atau nama Islamnya El-Hajj Malik El-Shabazz


{Hari Ini Dalam Sejarah}

Pada hari ini di tahun 1965, Malcolm X atau nama Islamnya El-Hajj Malik El-Shabazz telah mati dibunuh di New York, Amerika. Kemungkinan kebanyakkan anda tidak mengenali beliau tetapi dialah seorang "hero" saya. Beliau dilahirkan 19 Mei 1925 sebagai Malcolm Little. Bapanya adalah seorang paderi dan aktivis kaum kulit hitam Amerika dan bapanya dibunuh oleh puak pelampau kulit putih. Beliau membesar sebagai seorang remaja yang bermasalah dan akhirnya beliau dipenjarakan kerana melakukan jenayah rompakan.

Ketika di dalam penjara beliau telah mempelajari Islam dan daripada salah seorang banduan yang merupakan ahli kumpulan "Nation of Islam". Walaupun bernama Nation of Islam tetapi ia membawa ajaran sesat yang menyatakan ketua mereka iaitu Elijah Mohamad adalah seorang Nabi bagi orang kulit hitam. Malcolm X memeluki Islam dan selepas dibebaskan dari penjara beliau terus menyertai Nation of Islam. Malcolm X mempunyai kelebihan yang amat istimewa iaitu beliau adalah seorang pemidato yang sangat hebat dan boleh di katakan di antara pemidato terhebat di dalam sejarah umat manusia. Beliau menjadi ikon Nation of Islam yang memperjuangkan hak orang kulit hitam di Amerika yang masih dilayan sebagai warga kelas kedua di Amerika ketika itu. Walau bagaimanapun, oleh kerana beliau dipengaruhi oleh ajaran Islam yang sesat, beliau telah menjadi seorang yang ekstrem di dalam pemikirannya berkenaan kaum dan menyatakan bahawa kaum kulit putih sebagai shaitan tetapi semua ini berubah apabila beliau mula menerima banyak maklumat bahawa mentornya, iaitu Nabi palsu Elijah Mohamad telah melakukan banyak perkara tidak bermoral di antaranya mempunyai banyak anak luar nikah hasil hubungan dengan remaja - remaja perempuan.

Titik - titik perubahan di dalam diri Malcolm X ialah apabila seorang wartawan berkulit putih meminta pendapatnya berkenaan pembunuhan Presiden John F. Kennedy yang baru sahaja dibunuh ketika itu dan beliau menggunakan peribahawa Inggeris "chicken coming home to roost" yang bermaksud memang ini adalah sesuatu yang memang sudah dijangka dan ia adalah pembalasan yang setimpal. Ini telah membuat rakyat Amerika sangat marah kepada beliau dan oleh sebab itu Elijah Mohamad telah mengharamkan beliau untuk memberi sebarang temu ramah yang baru. Setelah beberapa ketika beliau merasakan bahawa Nation of Islam telah menyisihkan beliau dan dengan datangnya berita akan keburukan Elijah Mohamad, beliau dalam keadaan terbuntu oleh sebab itu beliau telah mengambil keputusan untuk melakukan Haji dan melawat negara - negara Afrika. Ketika melakukan ibadat Haji beliau terkejut melihat banyaknya orang berkulit putih yang beragama Islam dan mereka melayannya sebagai saudara walaupun dia berkulit hitam. Ini adalah satu perkara yang mengejutkannya kerana selama ini Elijah Mohamad hanya menyatakan bahawa hanya orang berkulit hitam sahaja yang beragama Islam. Ini telah membawa perubahan di dalam permikirannya berkenaan konsep kaum.

Sekembalinya beliau ke Amerika selepas selesai menunaikan Haji dan melawat negara - negara Afrika, beliau telah meninggalkan Nation of Islam dan telah membongkar kesesatan dan korupsi Nation of Islam. Beliau juga telah mula mengikut ajaran Islam yang benar dan menubuhkan kumpulannya sendiri iaitu Muslim Mosque Inc. dan Organization of Afro - America Unity. Beliau mula mengajak orang ramai untuk memperjuangkan solidariti di antara bangsa kulit putih dan hitam dan menolak sikap perkauman extrem.

Kerajaan Amerika amat bimbang pengaruhnya dan FBI sering mengekori beliau selain itu ahli kumpulan Nation of Islam mula menunjukkan sikap permusuhan kepadanya. Beliau dan keluarganya pernah di serang dan rumah mereka dibakar di percayai di lakukan oleh ahli Nation of Islam. Pada 21 Februari 1965, ketika beliau menaiki pentas untuk memberikan pidatonya sekumpulan lelaki berkulit hitam telah melepas berdas - das tembakan keatasnya. Beliau terbunuh serta merta dan seorang daripada pembunuhnya berjaya dibunuh oleh rakan Malcolm X manakala seorang lagi berjaya ditangkap oleh pihak polis tetapi kemudia dilepaskan.

Sehingga kini kes pembunuhannya tidak berjaya di selesaikan tetapi banyak pihak percaya beliau dibunuh oleh Nation of Islam atau oleh FBI kerana pembunuhnya dilepaskan oleh pihak polis. Di antara sumbangan beliau kepada Islam ialah beliau adalah orang yang pertama cuba membawa ajaran Islam yang sebenar di Amerika Syarikat kerana sebelum itu majoriti umat Islam di Amerika mengikut ajaran sesat Elijah Mohamad. Malahan salah seorang anak Elijah Mohamad telah menyertai Malcolm X dalam menyebarkan fahaman agama Islam yang sebenar dan menentang bapanya sendiri.

Di anggarkan di antara 14 000 sehingga 30 000 orang melawati jenazahnya yang mati di dalam keadaan tersenyum. Para wanita menangis kerana kehilangannya dan para lelaki bersuram. Semoga Allah memberi mu kematian yang mulia iaitu kematian seorang saheed wahai wira ku. Semoga Allah memberikan Jannah Nya kepada mu, ameen.