Tips Keyakinan & Motivasi Diri

Tips Keyakinan & Motivasi Diri


Soalan yang diajukan :

Ustaz ada tips tak macam mana nak tingkatkan keyakinan diri dan meningkatkan motivasi diri?
Jawapannya :

Setiap manusia yang dilahirkan atau dijadikan oleh Allah adalah untuk memperhambakan diri kepadaNya. Firman Allah yang bermaksud :

“Tidak Aku jadikan Jin dan Manusia, melainkan untuk beribadah kepadaKu”.

Ayat di atas ini dapat disimpulkan bahawa manusia ini hanya milik Allah dan manusia ada tanggungjawabnya untuk dilaksanakan iaitu beribadah dan mengerjakan amalan yang disuruh oleh Allah dan meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah. Keyakinan diri akan lahir pada orang yang benar-benar mengenali Allah dan rasulNya. Sepertimana kata orang sufi :

“Barang siapa yang hendak mengenali Allah, maka dia perlu mengenali dirinya terlebih dahulu”.

Apabila orang tersebut mengenali Allah, maka dia tahu akan tanggungjawab dan kewajipannya. Orang seperti ini dinamakan sebagai orang yang beriman dan bertaqwa. Apabila orang yang bertaqwa, maka orang ini akan mempunyai kemampuan diri yang sangat ajaib dan mempunyai keyakinan yang tinggi sehingga setiap perkara yang sukar dapat ditempuhi dengan mudah dengan hanya berbekalkan keyakinan diri dan yakin setiap perkara baik dan buruk itu datangnya dari Allah. Contohnya Nabi Muhammad dapat menyebarkan Islam dari tiada apa sehingga Islam bertapak dan kuat di Madinah. Jika difikirkan secara logik, mustahil seorang Nabi yang tiada harta dan anak yatim piatu dapat menjadi pemimpin dunia yang dikenali dari kalangan umat Islam dan bukan Islam. Semua ini berlaku adalah berkat dari kesabaran dan keyakinan Baginda terhadap perintah Allah.

Orang yang bertaqwa adalah orang yang kuat keyakinannya dan susah untuk digugatnya, kerana akidahnya sangat kental dan teguh terhadap Allah swt. Orang yang bertaqwa juga mudah untuk melaksanakan pekerjaan dunia dan akhirat, kerana mereka ini selalunya seiring antara dunia dan akhirat. Kalau sesuatu usaha mereka gagal, maka mereka mengatakan ini adalah ujian dari Allah dan bukan rezeki mereka. Hal ini beza dengan orang yang tidak bertaqwa dan tidak yakin apa yang ada di dunia ini adalah milik Allah. Orang yang tidak bertaqwa sering kali kecewa sehingga ada yang membunuh diri dan tidak sanggup lagi untuk menghadapi perkara tersebut.

Begitu juga dengan motivasi diri mesti dengan agama, kerana agama itulah penawar bagi segala-galanya. Agama juga merupakan nur dan panduan bagi semua umat manusia untuk menjadi manusia yang berguna dan manusia yang berjaya hidupnya di dunia dan di akhirat. Al-Quran dan Hadis sebagai petunjuk dan panduan kepada semua umat manusia, supaya umat manusia termotivasi dan terdorong untuk melakukan perkara yang bermanfaat dan berguna untuk dirinya dan sekelilingnya. Alasan saya mengatakan agama adalah motivator yang terbaik untuk merubah dan membimbing umatnya. Firman Allah yang bermaksud :

“ Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: dadamu (Wahai Muhammad serta mengisinya Dengan iman dan hidayah petunjuk) ? Dan Kami telah meringankan daripadamu : bebanmu (menyiarkan Islam) Yang memberati tanggunganmu, (dengan memberikan berbagai kemudahan Dalam melaksanakannya)? Dan Kami telah meninggikan bagimu: sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)? Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) Bahawa Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (sekali lagi ditegaskan). Bahawa Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Kemudian apabila Engkau telah selesai (daripada sesuatu amal Soleh), maka bersungguh-sungguhlah Engkau berusaha (mengerjakan amal soleh Yang lain), Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah Engkau memohon (Apa Yang Engkau gemar dan ingini).” (Al-Insyirah : 1-8)

Ayat di atas ini merupakan satu motivasi bagi sesiapa yang sukar untuk menempuh cabaran hidupnya, walaupun ayat di atas ini ditujukan kepada Nabi Muhammad saw, tetapi ianya juga sesuai kepada kita untuk dijadikan pengajaran kepada orang yang beriman kepada Allah, kerana setiap kesukaran ada jalannya untuk keluar dan perkara ini merupakan sunnatullah. Tiada kesusahan yang tidak ada jalan keluarnya. Bagaimana jalan keluarnya? Iaitu agama Islam merupakan jalan keluar terbaik untuk segala masalah yang dihadapi. Mengalami masalah belajar? Maka berusaha sedaya yang mampu dan selebihnya berdoa dan tawakal kepada Allah. Ada masalah kewangan? Kalau orang ada agama, maka dia tidak akan berbelanja berlebihan, malah dia akan sentiasa beringat dan tidak mudah untuk berutang dan terlibat dengan perkara yang syubhah. Ada masalah keluarga? Maka agama juga jalan keluarnya, iaitu masing-masing tahu peranan dan tanggungjawab, maka keluarga tersebut akan aman dan bahagia. Semua masalah yang ada di dunia ini, Islam ada penawarnya dan tips untuk menyelesaikan masalah tersebut.

“Dan Kami turunkan Dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat suci Yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang Yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang Yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.” (Al-Israk : 82)

Apa tunggu lagi!! kembalilah kepada agama Islam yang kaffah, amalkan segala suruhan Allah dan tinggalkan segala larangan Allah, nescaya hidup kita semua tidak akan sesat selama-lamanya dan terhindar dari azab api neraka Allah. Kepada siapa yang ambil amalan Islam pada keadaan yang tertentu sahaja, cepat-cepatlah tukar cara hidup anda yang lama dan ambillah keseluruhan cara hidup Islam dengan melaksanakannya dengan hati yang benar-benar ikhlas kepada Allah. Selamatkan cepat keluarga kita dari terjebak dalam lembah kerugian, dan jadikan Islam cara hidup anda, keluarga kita, nescaya tidak akan menyesal dihari kemudian.