Kesan Puasa | Satu petang Ramadhan, di Mydin Subang USJ 1.
“Aih, seluar jeans saiz 26 dah muat? Bukan kau pakai 30 ke? Macam mana kau buat?”
“La kau ni, kan dah 3 minggu puasa. Sah la turun kilo. Hihi.”
“Eh gitu eh? Apesal aku tak turun pun? Maintain je. Kalau fluctuate pun, ada la sekilo dua. Tak ada la sampai seluar adik form 3 pun lulus aku nak sewa.”
*****
“Alright, malam ni jumpa dekat surau Casa. Masa terawih. Nak pakai seluar baru pun takpe, aku tahu kau masih teruja. Sampai 4 jeans kau pancing harini.”
“Eh! Sorry la, Aku tak pergi terawih la malam ni. Kita jumpa esok la ye? Kat kelas.”
“Eh, kenapa? Dah minggu last ni. Fasa lailatul qadar. Rugi tak datang. Lagipun, imam arab tu nak buat 20 rakaat malam ni.”
“Aku memang every year macam ni. Dah hujung-hujung bulan puasa ni, banyak kerjalah kat rumah. Raya kan setahun sekali. Hehe.”
“Every year? Ish kau ni, langsung tak ikut prasarana puasa yang betul. Bukan ke sepatutnya, puasa akan memberi impak di hati, iman dan amalan? Bertambah ketaqwaan. Bukan setakat impak fizikal je.”
“Erk…”
*****
KISAH di atas bukanlah kisah benar yang dialami penulis. Namun, barangkali ia terjadi di kalangan kita, cuma mungkinlah tidak spesifik di Mydin Subang dan melibatkan seluar jeans saiz 26.
Sepertimana bunga mekar ketika musim bunga, seharusnya begitulah taqwa akan mekar di kala Ramadhan. Dengan syarat, puasanya mengikut prasarana.
Jadi apakah prasarana puasa itu? Adakah setakat bangun sahur sebelum subuh dan tidak makan di siang hari selama 30 hari? Itu sahaja?
Tidak. Prasarana puasa yang sebenar ialah menahan diri. Menahan diri mengikut nafsu. Dari sudut perbuatan, percakapan, sehinggalah juga padasudut perasaan.
Sewaktu Ramadhan, seharusnya diri berusaha lebih keras untuk menghakis perkara lagha yang dilakukan sebelumnya. Inilah masa untuk mengikis sebersih-bersihnya rasa malas, suka marah, kuat tidur, kuat shopping atau kuat makan. Tidak perlu bercerita tentang maksiat. Seharusnya, usaha membuangnya jauh-jauh perlu lebih giat dilakukan ketika bulan puasa ini.
Begitu juga amalan sunat yang liat dijalankan sebelum ramadhan, kali ini sungguh-sungguh dihidupkan dalam rutin harian penuh semangat . Biar sebati dalam diri, agar melekat sampai lepas Ramadhan nanti. Amalan wajib pula dipercantikkan sebaiknya, agar lebih berseri-seri dan indah catatan amalan itu. Mudah-mudahan, mekar menguntumlah rasa taqwa dalam diri. Barulah ia dipanggil ‘impak’ dalam hati.
Sesuai benar dengan firman Allah S.W.T dalam surah al-Baqarah, ayat ke-183 (maksudnya):
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”
.
Ramadhan itu ada tiga fasa. Di awalnya kerahmatan. Penuh dengan rahmat. Bagaikan mencurah-curah ke ladang gandum!
Di tengahnya, keampunan. Seluas langit dan bumi, keampunan, kemaafan, peluang untuk dihapuskan segala dosa dan noda.
Dan di hujungnya? JUALAN ISTIMEWA HARI RAYA. Maka beratur panjanglah kita di kaunter pasar raya, berpusu-pusulah kita ke Mydin dan semakin sepilah barisan makmum terawih. Kasihan imam Arab itu.
Beginikah kita orang mukmin?
Mestilah tidak! Seharusnya, ketika di hujung Ramadhan, kita perlu lebih berusaha untuk mengejar malam lailatul qadr dan pembebasan daripada api neraka. Bukankah bertemu malam yang lebih baik daripada seribu bulan itu adalah matlamat kita? Bukanlah raya itu yang menjadi fokusnya. Jika itu sahajalah tujuan kita, alangkah ruginya!
Bulan Ramadhan yang penuh keberkahan itu seharusnya menjadi titik tolak kepada perubahan diri kita. Bukan sahaja itu, ia juga boleh menjadi motivasi buat kita untuk menambah amalan-amalan kita dan seterusnya istiqamah sehingga menuju bulan seterusnya. Begitulah seharusnya Ramadhan seorang mukmin!
Di kesempatan ini ingin saya ucapkan selamat hari raya, maaf zahir dan batin. Jauh dari tanah asing ini, di sebalik putihnya salju, saya mendoakan kita semua sentiasa bergerak di atas barakah Allah. Seeru ‘ala barakatillah.
Wallahua’lam.
Eushahida Raffar