Inilah Yang Terjadi Apabila Video Menjadi ‘Viral’

Saban waktu ada sahaja video-video yang menjadi viral di media-media sosial seperti Facebook dan Youtube.  Itulah istilah yang digunakan oleh pengguna internet.  Sesuatu video disebut viral video apabila ia menjadi begitu popular secara mendadak melalui perkongsian oleh pengguna-pengguna internet.
Tema viral video ada bermacam-macam jenis.  Ada lucu, berita tergempar, aksi luar biasa, kontroversi, skandal dan lain-lain lagi.  Ada yang sengaja disebarkan oleh si pelaku aksi sendiri dan ada juga yang disebarkan oleh si perakam tanpa kebenaran si pelaku aksi.  Ada yang bertujuan menyebarkan maklumat, perkongsian, hiburan, iktibar.  Dan ada juga yang secara sengaja mendedahkan aib orang lain.
Walau apapun tujuan dan niat si penyebar video, perkara berikut pasti akan berlaku.  Iaitu video tersebut pasti ditonton oleh ribuan malah jutaan manusia kerana ia sudah menjadi viral.

Dosa Atau Pahala Turut Menjadi Viral

Kita mungkin terlalu mengikut perasaan tatkala menyebarkan video tersebut tanpa memikirkan akibatnya samada ke atas orang lain atau ke atas diri kita sendiri.  Mungkin ia didorong oleh perasaan seronok, marah, dendam, teruja dan sebagainya.  Kita terlupa tentang dosa dan pahala.
Apabila sesebuah video menjadi viral, samada kita sedar atau tidak, dosa dan pahala yang mungkin terbit dari perbuatan menyebarkan video berkenaan juga akan turut menjadi viral.  Ya, inilah yang terjadi apabila sesuatu video menjadi viral.  Justeru, kita mesti berhati-hati dan fikir berkali-kali sebelum menyebarkannya.  Mesti pertimbangkannya dengan dosa dan pahala.
Jika ia video ceramah agama, dokumentari nasihat atau berita yang boleh membangkitkan kesedaran Islam, maka tidak syak lagi si penyebar video akan mendapat pahala yang banyak apabila orang lain mendapat manfaat daripada video tersebut, bahkan akan berganda-ganda pahalanya jika ia menjadi viral.  Maka akan menjadi viral lah pahalanya.  In shaa’ ALLAH.
Sebaliknya jika ia video yang mendedahkan aurat manusia lain atau mendedahkan kesilapan dan aib manusia lain, maka secara langsung atau tidak langsung dosa boleh terbit dari perbuatan kita yang menyebarkannya.  Jika ia menjadi viral video, maka bayangkan pula dosa yang berlipat kali ganda yang bakal terbit darinya.  Ratusan, ribuan malah mungkin jutaan orang akan menontonnya.  Dan sebanyak itulah juga barangkali dosa kita.  Na`udzu billahi min dzalik.  Kita berlindung dengan ALLAH dari terlibat sama menyebarkan video sebegitu.

Aib Kita Banyak!

Kita ambil contoh video yang mendedahkan aib orang lain.
Cuba kita bayangkan jika aib kita dirakam oleh orang lain lalu disebarkan melalui internet dan media-media sosial lalu ia menjadi viral.  Tentu bukan main kepalang lagi perasaan malu yang akan menerjah ke kulit muka kita.  Usahkan media sosial; jika satu orang atau dua orang melihatnya pun sudah cukup menjadikan kita tersangat malu dan kecewa.  Jadi sangat tidak patut kita mendedahkan dan menyebarkan aib orang lain jika kita fikir musibahnya ke atas diri sendiri.
Kita sendiri mempunyai aib yang banyak.  Alhamdulillah, aib kita yang banyak itu tidak diketahui oleh orang lain.  Ia tertutup kemas dari penglihatan, pendengaran dan pengetahuan orang lain.  Dengan izin ALLAH, ia ditutup.  Kalaulah aib-aib kita ditunjukkan ke khalayak ramai tentu tidak tertanggung rasa malu itu bukan?
Di dunia mungkin kita terlepas.  Tapi ingatlah bahawa pada Hari Akhirat kita tidak akan terlepas.  Semuanya telah dirakam dengan teliti dan jelas.  Ia pasti akan ditayangkan.  Tebal mana pun kulit muka kita pasti akan cair malu, kecewa dan menyesal kerana tidak dapat menanggung malu yang bersangatan.  Tentu kita sangat-sangat mengharapkan agar aib yang banyak tersebut tidak dipaparkan di khalayak ramai!
Bagaimana caranya?
Caranya ialah jangan kita dedahkan aib orang lain ketika di dunia ini.  Jika kita tutup aib orang lain, nanti ALLAH akan tutup aib kita, in shaa’ ALLAH.  Hal ini ada disebut oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam di dalam sebuah hadith sahih.

مَن ستَرَ مسلمًا ستَرَه اللهُ يومَ القيامةِ

“Barangsiapa yang menutup aib seseorang muslim, ALLAH akan menutup aibnya pada Hari Kiamat.”
(Sahih al-Bukhari. Dari `Abdullah bin `Umar radhiAllahu `anhuma)
Peringatan ini buat saya sendiri dan buat para pembaca yang sudi mengambil manfaat.  Berhati-hatilah ketika di dunia ibarat kita sedang menjalani sebuah lorong yang penuh duri.  Apa-apa yang bakal menyakitkan kita pada Hari Akhirat nanti maka jauhilah.
Viral kan pahala kita!  Bukan dosa!

Allahu A`lam.

Sumber : muzir.wordpress.com