Cara Berbakti Kepada Kedua Ibu Bapa Kita


Alhamdulillah di kesempatan, cuti yang sekejap hujung minggu ni untuk saya menyambung penulisan saya, yang terhenti hampir 2 bulan. Dan terniat saya untuk menulis ni atas usaha menyampaikan kepada semua, moga-moga manfaat akan kita peroleh bersama. Syukur juga semalam saya dapat menghadiri majlis ilmu di kolej dan tajuk ini lah yang disampaikan oleh al-fadhil Ustaz. Dan kata-kata guru saya dulu, andai kita tak dapat berdiri dikhalayak untuk menyampaikan (Seperti seorang ustaz dan pemimpin), maka jangan tinggalkan usaha menyampaikan, dan bermula dari sini lah usaha saya untuk menyampaikan yang bermanfaat melalui penulisan. Dan kalau dilihat, ramai lagi para-para ilmuan, ustaz dan ustazah menyampaikan ilmu mereka melalui karya penulisan mereka. Ini hanyalah sekadar intro =). Perenggan seterusnya akan mengulas lebih lanjut tentang tajuk yang ingin saya sampaikan.

Pertamanya, dalam penerangan al-fadhil ustaz berdasarkan surah Luqman yang telah dibaca oleh student, maksudnya“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan atas kelemahan dan menceraikan susunya dalam masa dua tahun; bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan kepada Akulah tempat kembalimu.” dimana disini secara jelas hukum mentaati dan berbakti kepada orang tua iaitu ibu bapa kita adalah WAJIB, dan dijelaskan lagim oleh ustaz, bahawa antara dosa-dosa besar adalah mensyirikkan ALLAH, derhaka terhadap ibu bapa, membunuh orang dan lari dari medan perang. Dan maksud derhaka disini ialah tidak berbakti dan tak mentaati ibu bapa.

Sebenarnya , dalam Al-Quran itu sendiri selain daripada surah Luqman itu sendiri, ada banyak lagi ayat dalam Al-Quran berkaitan dengan kewajipan mentaati ibu bapa, antara lain yang saya tahu dalam surah Al-Isra’ ayat 23 dan 24 yang bermaksud “Dan Tuhanmu memerintahkan agar kamu jangan menyembah melainkan hanya kepada-Nya dan hendaklah berbuat baik kepada orang tua. Dan jika salah satu daripada keduanya atau kedua-duanya berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu menyatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak keduanya. Dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan mulia dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah: “ Wahai Tuhanku, sayangilah mereka keduanya, sebagaimana keduanya menyayangi aku waktu kecil” . Dan dalam surah An-Nisa’:36 bermaksud ”Dan sembahlah Allah dan janganlah menyekutukan- Nya dengan sesuatu dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, tetangga jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahaya, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang sombong dan membanggakan dirinya”

Ayat di atas menunjukkan bahawa berbakti kepada ibu bapa menduduki peringkat kedua selepas mentauhidkan (mengesakan) Allah dalam beribadah. Sebab itu tidak mungkin terjadi bagi seorang yang mengaku bertauhid kepada Allah, tetapi ia derhaka kepada kedua-dua orang tuanya. Allah yang Mencipta dan Memberikan rezeki. Maka Allah sahajalah berhak diibadahi. Ibu bapa adalah sebab adanya anak. Maka kedua-duanya berhak diperlakukan dengan baik. Oleh itu menjadi kewajipan bagi seorang anak untuk beribadah kepada Allah kemudian diiringi dengan berbakti kepada kedua-dua orang tuanya.

Hukum taat kepada ibu bapa itu wajib, maka haram untuk kita meninggalkan kewajipan tersebut, maksudnya disini seorang anak itu wajib mentaati kedua ibu bapa, dan jika tidak mentaatinya, maka dikira sebagai anak derhaka. Harus diingat sesungguhnya keredaan ALLAH itu terletak pada keredhaan kedua-dua orang tua kita.

Bagaimana pula cara berbakti kepada ibu bapa? Ingatlah bahawa doa orang tua terutama ibu adalah doa mustajab. Maka janganlah sekali-kali menyakiti hati mereka meskipun kita dalam pihak yang benar. Sesungguhnya hak ibu bapa kita atas diri kita lebih besar dan berlipat ganda banyaknya sehingga apapun kita lakukan dan sebesar manapun penderitaan kita rasakan ketika kita membantu mereka, hal itu tidak akan dapat membalas jasanya. Maka cara berbakti kepada mereka adalah memenuhi hak mereka.

Disini ada satu kisah, ketika Abdullah bin Umar melihat seseorang mengendong ibunya untuk tawaf di Kaabah dan kemana saja si ibu inginkan, orang itu bertanya: “Wahai Abdullah bin Umar, dengan perbuatanku ini apakah aku sudah membalas jasa ibuku?” Jawab Abdullah bin Umar: ”Belum, setitis pun engkau belum dapat membalas kebaikan kedua-dua orang tuamu.”

Al-fadhil ustaz juga menyebut, daripada seuah hadis, bahawa sesungguhnya kita tidak akan dapat membalas jasa orang tua kita, melainkan apabila mereka itu menjadi hamba, dan kita membeli serta memerdekakan mereka. Seterusnya adalah kita harus jalankan amanah yang diberikan mereka kepada kita, doakan kesejahteraan mereka walaupun mereka telah tiada, berbuat baik dengan sahabat-sahabat mereka dan mencukupkan keperluan mereka.

Tidakkah kita ingin diluaskan rezeki dan dipanjangkan umur oleh Allah? Sabda Rasullulah s.a.w: “Barang siapa yang suka diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah ia menyambung tali siratulrahim.” (Hadis Riwayat: Bukhari, Muslim, Abu Dawud) sesungguhnya ibu bapa keluarga terdekat kita. Mereka mempunyai hak yang lebih untuk kita dahulukan dalam masalah siltulrahim.




Cukup sekadar ini sahaja lah penulisan saya, dan harapan semoga ini banyak memberi manfaat bersama. InsyaALLAH ada masa akan saya sambung dengan penulisan yang lain.

****Terima kasih buat al-fadhil ustaz, dan kebanyakan isi dalam penulisan ni hasil perkongsian dari ustaz dan juga blog ustaz-ustaz di certain IPT =) Moga-moga ALLAH memberkati mereka atas perkongsian ilmu-Mu****