JANGAN PUASA JIKA MUDARATKAN DIRI ATAUPUN ORANG LAIN
Para ulama berbeza pendapat tentang manakah lebih afdal ketika bermusafir; puasa atau berbuka. Masing-masing mempunyai hujah yang tersendiri. Saya bersetuju dengan pendapat bahawa jika puasa tidak menjadi bebanan, maka berpuasa lebih baik. Ini kerana dalam hadis Jabir r.a:
“Bahawa Rasulullah s.a.w keluar ke Mekah pada tahun pembukaan Mekah pada bulan Ramadan. Baginda berpuasa sehingga sampai Kura’ al-Ghanim. Orang ramai turut berpuasa. Lalu diberitahu kepada baginda: “Sesungguhnya puasa telah membebankan orang ramai, mereka sedang menunggu apa yang engkau akan lakukan”. Lalu selepas Asar, baginda meminta sebekas air dan meminumnya” (Riwayat Muslim).
Dalam hadis ini menunjukkan, jika tidak kerana bebanan ke atas para sahabah, tentu baginda terus berpuasa. Dalam riwayat Muslim juga menyebut dalam peristiwa di atas baginda memarahi mereka yang enggan berbuka setelah baginda berbuka. Baginda menyebut: “Mereka itu menderhaka! Mereka itu menderhaka!”.
Adapun jika puasa menjadi beban sehingga boleh membawa mudarat, maka seseorang wajib membuka puasanya. Nabi s.a.w melarang para sahabah berpuasa sehingga memudaratkan diri. Ini seperti hadis di atas yang mana Nabi s.a.w menyatakan bahawa mereka yang enggan berbuka puasa sekalipun telah menjadi bebanan kesusahan kepada diri itu sebagai menderhakai arahan atau teladan baginda s.a.w.
Dalam riwayat al-Bukhari:
“Rasulullah s.a.w. dalam satu perjalanan lalu mellihat orang ramai berkumpul dan seorang lelaki yang dipayung (kerana terlalu teruk berpuasa). Lalu baginda bertanya: Kenapa?. Mereka menjawab: Dia berpuasa. Baginda bersabda: Bukanlah sesuatu yang baik itu, berpuasa ketika musafir!”.
Maka hendaklah sesiapa yang merasakan dirinya terbeban sehingga memudaratkan kesihatan atau keadaannya, maka dia wajib membuka puasa dan menggantikannya kemudian.
Jika Nabi s.a.w menyuruh membuka puasa apabila bimbang mudarat atau bebanan yang terlalu berat untuk dirinya secara individu, sudah pasti dia lebih patut membuka puasa jika memudarat pihak-pihak lain. Ini seperti pemandu kenderaan awam yang jika mereka berpuasa menghilangkan tumpuan mereka dalam perjalanan seterusnya boleh mengundang kemalangan yang mengancam nyawa dan keselamatan penumpang, maka mereka hendaklah berbuka puasa. Jika ia tidak mengganggu tugas dan mengancam keselamatan awam, maka mereka tidak diwajibkan berbuka, namun mempunyai pilihan.
Mereka yang berbuka pada waktu Ramadan hendaklah menggantikannya kemudian.