Ustaz.. Boleh terangkan apa maksud mengumpat? Saya ingin memohon maaf dengan orang telah saya mengumpat.. Kalau saya membuat akaun FB baru yang tidak mempamerkan nama saya dan menghantar mesei dengan mengatakan “Saya ingin minta maaf sekiranya saya membuat kesalahan terhadap awak”. Bolehkah begitu? Ini kerana saya berasa segan kerana terdapat orang-orang dari sekolah lama saya.
Jawapan
Fitnah adalah satu kesalahan yang sangat besar, malah orang yang melakukan fitnah ini diibaratkan Allah SWT seperti firmanya yang bermaksud :
“Dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan.” (Al-Baqarah : 217)
Jadi inilah gambaran yang ditunjukkan Allah SWT bagi orang melakukan fitnah. Ini bermaksud perlakuan fitnah ini amatlah besar dosanya daripada membunuh, malah dosa mengumpat ini diibaratkan seperti memakan daging saudaranya yang telah mati seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Hujurat : 12)
Berdasarkan firman-firman Allah SWT di atas ini sudah memadai untuk menakutkan kita dari melakukan dosa fitnah atau mengumpat. Sekiranya kita pernah melakukan itu, maka bersegeralah bertaubat dan memohon ampun kepada orang yang kita fitnah.
Perlu Memohon Maaf
Merujuk kepada soalan di atas, anda rasa malu untuk meminta maaf kepadanya, kerana di sana ada ramai kenalan yang bersama di dalam akaun FBnya. Bagi pandangan saya itu tidak menjadi masalah untuk anda memohon maaf kepadanya. Banyak cara yang anda boleh lakukan, seperti menggunakan ruangan pesanan yang terdapat di dalam page FB dan tidak ada sesiapapun tahu kerana di dalam itu hanya awak dengannya sahaja melainkan dia sebarkan kepada orang lain.
Anda juga boleh meminta no telefonnya melalui FB setelah dapat anda boleh hubungi terus kepadanya untuk memohon maaf. Banyak lagi ruang dan teknologi yang boleh digunakan untuk memohon maaf kepada orang tersebut. Tidak ada alasan untuk anda menyembunyikan nama agar orang lain tidak tahu.
Kalau tidak nyatakan nama, bagaimana orang itu hendak tahu siapa yang minta maaf kepadanya. Lebih baik dimasukkan nama, kerana menjelaskan nama itu lebih baik daripada bersembunyi. Tindakan menjelaskan nama ini menunjukkan keikhlasan diri dan bersungguh-sungguh untuk memohon maaf kepadanya.
Kena Ikhlas
Hendak memohon maaf ini kena melalui hati yang ikhlas dan bersedia. Jadi perasaan takut dan malu tidak lagi menjadi halangan. Cuba anda fikirkan dosa fitnah dan malu, mana yang lebih besar dan berat? Sudah tentu dosa fitnah, jadi motivasikan diri agar anda dapat buang segala malu dan perasaan negatif yang ada untuk minta maaf. Insya-Allah sekiranya niat kita baik dan ikhlas, Allah SWT akan mempermudahkan urusan kita.
Jadi jangan tunggu-tunggu lagi, kerana ajal maut kita tidak tahu bila. Bersegeralah memohon maaf atas kesalahan yang pernah dilakukan, kerana orang yang gagal memohon maaf akan ditarik oleh Allah SWT akan pahalanya mengikut saiz kezalimannya. Sekiranya pahalanya telah habis, maka Allah SWT menarik pula dosa orang yang dizalimi kepadanya. Hal ini telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW sebagai berikut :
“Barangsiapa pernah melakukan kezaliman terhadap saudaranya, baik menyangkut kehormatannya atau sesuatu yang lain, maka hendaklah ia minta dihalalkan darinya hari ini, sebelum dinar dan dirham tidak berguna lagi (hari kiamat). (Kelak) jika dia memiliki amal soleh, akan diambil darinya seukuran kezalimannya. Dan jika dia tidak mempunyai kebaikan (lagi), akan diambil dari keburukan saudara (yang dizalimi) kemudian dibenamkan kepadanya.” (Riwayat Al-Bukhari)
Penutup
Dosa fitnah amat berat dan besar, sebaiknya sebelum mengeluarkan kata-kata pastikan kesahihan maklumat yang diperolehi dahulu. Sekiranya orang yang difitnah tidak dapat dikesan, maka bertaubatlah kepada Allah, mungkin Allah SWT boleh menerima taubat kita. Jadi fikir-fikirkanlah sebelum melakukannya…