SAMAKAH PAHALA PUASA SETIAP ORANG?

SAMAKAH PAHALA PUASA SETIAP ORANG?

Keadaan peribadi setiap orang dalam ibadah membawa perbezaan nilai di sisi Allah. lni disebut oleh para ulama Usul seperti al-Imam ‘Izzu al-Din ‘Abd al-Salam (meninggal 660H) dalam Qawa’id al-Ahkam. Beliau menjelaskan perbezaan pahala dua amalan yang serupa itu bukanlah perbezaan pahala amalan itu sendiri, sebaliknya tambahan pahala itu diperolehi disebabkan kesusahan yang ditanggung. Beliau membuat contoh seseorang yang mandi wajib pada musim sejuk dan seorang yang mandi wajib pada musim panas. Dari segi mandi, keduanya mendapat pahala yang sama disebabkan sifat mandi itu dari sudut syarat, rukun dan sunahnya itu sama. Namun yang mandi pada musim sejuk mendapat pahala lebih disebabkan beban yang lebih berat yang terpaksa ditanggung.

Bukannya perbezaan pahala itu pada mandi tersebut, tetapi kepada beban sampingan yang terpaksa ditanggung. Demikianlah kata beliau mengenai mereka yang pergi ke masjid, haji, jihad dan seumpamanya. Pahala diberikan bukan kerana perbezaan tujuan, tetapi kerana perbezaan jalan yang terpaksa ditempuh.

Begitulah puasa, walaupun dari segi puasa, tujuan sama. Juga syarat, rukun dan sunahnya yang dilaksanakan itu sama. Namun, pahala berbeza bukan disebabkan perbezaan pahala puasa, tetapi perbezaan bebanan yang ditanggung oleh seseorang yang melaksanakan tanggungjawab tersebut. Maka, kita hendaklah tahu bahawa setiap kesusahan yang ditanggung oleh pengamal ibadah itu, ada hitungan pahala di sisi Allah. Tiada siapa yang pernah Allah rugikan amalan baiknya. Ini seperti mana yang Allah tegaskan dalam al-Quran: (maksudnya) “dan sabarlah, kerana sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan”. (Surah Hud, ayat 115)

Keadilan Allah dalam hal ini menjadikan setiap hamba itu mendapat ruangan rahmat yang tersendiri. Seorang yang berpuasa dengan penuh kepayahan disebabkan tugasan harian yang berat, tentu mendapat pahala yang lebih dari seorang yang duduk berehat di pejabat yang selesa, ataupun dalam rumah yang berhawa dingin. Seorang yang bersusah payah mendapatkan sesuap makanan untuk berbuka puasa, ataupun menjamu orang berbuka puasa tentu mendapat pahala tambahan melebihi mereka yang mewah harta dalam berbuka puasa ataupun menjamu orang berbuka puasa.

Demikian seorang yang berpuasa dalam suasana penuh cabaran seperti cabaran di tempat kerja yang di kelilingi mereka yang tidak berpuasa ataupun di negeri yang suasana amat mencabar untuk berpuasa. Berpuasa pada hari yang panas lebih beban dari berpuasa pada hari yang sejuk. Maka, pahala tambahan atas bebanan puasa juga ada diperolehi pada yang berkenaan. Seseorang yang dicabar perasaannya oleh pihak tertentu pada hari dia berpuasa, tetapi dia sabar demi menjaga puasa tentu mendapat pahala yang lebih disbanding mereka yang puasa dalam keadaan tenang dan selesa. Kesemua hal tersebut ada hitungannya di sisi Allah. Maka seseorang hamba Allah hendaklah tahu bahawa Allah tidak pernah mensia-siakan apa sahaja pengorbanan keranaNYA.